Isnin, 18 November 2019 | 10:59am
KEADAAN kebakaran di Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU). - Foto Reuters
KEADAAN kebakaran di Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU). - Foto Reuters

Rusuhan Hong Kong, penunjuk perasaan bakar pintu masuk universiti

HONG KONG: Penyokong pro demokrasi menggali lubang di pintu masuk utama kampus universiti Hong Kong, sebelum menyalakan api bagi menghalang premis itu dirempuh polis yang memberi amaran mungkin terpaksa menggunakan peluru hidup jika diserang dengan senjata berbahaya.

Ia susulan kejadian seorang anggota yang cedera di bahagian kaki akibat dipanah penunjuk perasaan, sekali gus menjadikan krisis selama enam bulan ini semakin buruk.

China terdahulu berulang kali memberi amaran menghantar pasukan tentera dari Beijing jika kekacauan terbabit tidak dihentikan.

Beberapa letupan kuat turut kedengaran menjelang waktu subuh, hari ini sebelum api membakar pintu masuk utama ke Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) ketika cubaan polis memasuki kampus dipatahkan perusuh.

Menurut polis, mereka melepaskan tiga tembakan peluru hidup awal pagi tadi berhampiran universiti berkenaan, namun ia tidak mencederakan sesiapa.

Satu pertempuran sengit tercetus semalam yang menyaksikan seorang polis cedera apabila dipanah di bahagian kaki, manakala perusuh membalas tembakan gas pemedih mata dengan lemparan bom petrol.

Mereka turut menggunakan payung bagi melindungi diri daripada tembakan meriam air dan melempar koktel molotov ke arah kenderaan perisai milik polis, menyebabkan ia terbakar. - AFP

Berita Harian X