Isnin, 18 November 2019 | 7:34am
SEORANG anggota polis cedera dipanah di bahagian kaki oleh perusuh. - Foto AFP
SEORANG anggota polis cedera dipanah di bahagian kaki oleh perusuh. - Foto AFP

Polis Hong Kong beri amaran guna peluru hidup

HONG KONG: Polis bandaraya ini buat kali pertama memberi amaran akan menggunakan peluru hidup, selepas perusuh menggunakan panah dan melempar bom petrol ke arah pegawainya di kampus universiti.

Hab kewangan global itu dilanda kekacauan sejak Jun lalu apabila rakyat yang berang bangkit meluahkan kemarahan masing-masing kerana merasakan kebebasan mereka dicabuli di bawah pemerintahan China.

China berulang kali memberi amaran bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan perkara itu dan terdapat kemungkinan bahawa Beijing akan menghantar pasukan tentera bagi menghentikan semua kekacauan.

Rusuhan semalam yang menyaksikan seorang anggota polis cedera dipanah di bahagian kaki, bertambah buruk ketika malam menjelma.

Ia berlaku di seluruh Kowloon, dengan lokasi utama adalah sekitar Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU), menyaksikan perusuh membina unggun api besar bagi menghalang polis menyerbu kampus berkenaan.

Mereka menggunakan payung bagi melindungi diri daripada pancutan meriam air dan melempar bom petrol ke arah kenderaan perisai milik polis, membuatkan ia terbakar berhampiran jejambat.

Susulan itu, polis mengisytiharkan keseluruhan perimeter kampus sebagai lokasi rusuhan, kesalahan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, dan menutup semua pintu keluar, serentak dengan amaran keras diberikan jurucakap mereka, Louis Lau secara langsung di Facebook.

“Saya memberi amaran kepada semua perusuh, jangan gunakan bom petrol, panah, kereta atau sebarang senjata berbahaya untuk menyerang anggota polis.

“Jika mereka terus menggunakan senjata berbahaya seperti ini, kami tidak ada pilihan selain daripada kekerasan, termasuk menembak menggunakan peluru hidup untuk menyerang balas,” katanya.

Tiga perusuh sudah ditembak polis setakat ini, namun kesemuanya berlaku akibat pertempuran ganas di jalanan. - AFP

Berita Harian X