Ahad, 17 November 2019 | 2:39pm
Polis Hong Kong melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas perusuh. - Foto EPA
Polis Hong Kong melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas perusuh. - Foto EPA

Polis tembak gas pemedih mata, surai aktivis merusuh

HONG KONG: Polis Hong Kong melepaskan tembakan gas pemedih mata pagi tadi ke atas perusuh yang mahu menjadikan terowong utama sebagai kubu kuat mereka, serentak dengan ikrar aktivis pro demokrasi untuk melumpuhkan ekonomi minggu depan.

Kumpulan berkenaan berkampung di kampus Universiti Politeknik Hong Kong di Kowloon, yang terletak berhampiran Cross Tunnel Harbour dan mula melempar koktel molotov sejurus sebelum 10.30 pagi.

Terdahulu, puluhan penyokong kerajaan berkumpul di kawasan itu untuk membersihkan penghadang yang dipasang berhampiran kampus universiti.

Kira-kira 80 hingga 100 penduduk separuh usia dilihat bertepuk tangan dan bersorak sebaik berjaya mengalihkan semua objek terbabit daripada memenuhi jalan, berdekatan pintu masuk ke Cross Tunner Harbour.

Menurut laporan media tempatan, aktivis berkenaan turut melempar batu bata ke arah penduduk.

Pertempuran terbaharu itu tercetus apabila perusuh berikrar meneruskan gerakan mereka yang mencakupi perbuatan merosakkan kemudahan awam, penutupan jalan dan larangan memasuki premis tertentu.

Tindakan berkenaan memaksa sejumlah besar rangkaian kereta api terpaksa dihentikan buat sementara manakala sekolah dan pusat beli belah terpaksa menutup operasi masing-masing. - AFP

Berita Harian X