Khamis, 14 November 2019 | 7:28pm
SHEIKH Jaber Mubarak Al-Sabah

Kabinet Kuwait letak jawatan susulan pertikaian di parlimen

KUWAIT CITY: Perdana Menteri Kuwait dan kabinetnya menghantar surat peletakan jawatan hari ini, susulan pertikaian di antara mereka dan kritikan mengenai prestasi menteri, kata pegawai.

Perdana Menteri, Sheikh Jaber Mubarak Al-Sabah menghantar surat peletakan jawatan barisan kabinet kepada Emir, bagi membolehkan rombakan kabinet dilakukan, kata jurucakap kerajaan Tareq al-Mazrem dalam satu kenyataan.

Menteri Kewangan, Nayef al-Hajraf dan Menteri Kerja Awam, Jenan Bushehri meletak jawatan bulan ini, selepas kedua-duanya didakwa menyalahgunakan portfolio dan dana awam.

Pada Selasa lalu, parlimen turut mengkritik Menteri Dalam Negeri, Sheikh Khaled al-Jarrah Al-Sabah, yang juga ahli keluarga pemerintah atas tuduhan yang sama.

Ahli Parlimen Bebas, Saleh Ashour memberitahu AFP, selain kritikan, perselisihan di antara menteri berhubung komposisi kabinet semasa turut mencetuskan pengunduran terbabit.

Kuwait adalah satu-satunya negara Teluk di mana pemilihan parlimen dan kerajaan dikawal sepenuhnya oleh keluarga pemerintah.

Negara yang kaya dengan minyak itu dihambat pertikaian politik di antara penggubal undang-undang dan kerajaan selama lebih satu dekad, menyaksikan parlimen dan kabinet beberapa kali dibubarkan. - AFP

Berita Harian X