Rabu, 13 November 2019 | 10:23am
Sebahagian peserta tunjuk perasaan anti kerajaan di Beirut. Foto AFP

Seorang maut dalam protes di Beirut

BEIRUT: Seorang lelaki ditembak mati di selatan Beirut, selepas tentera mengumumkan mereka terpaksa melepaskan tembakan, bagi meleraikan penunjuk perasaan yang menghalang jalan raya.

Agensi berita kebangsaan melaporkan, mangsa yang sedang dirawat di hospital, gagal diselamatkan dan ia adalah kematian kedua dalam tempoh hampir sebulan, dalam protes yang berlaku di seluruh Lubnan.

Pihak tentera dalam satu kenyataan berkata, mereka sudah menahan seorang anggota yang melepaskan tembakan di Khalde, bagi menyuraikan peserta protes, yang mengakibatkan seorang cedera.

Sementara itu, Parti Sosialis Progresif pimpinan Walid Jumblatt, berkata mangsa yang terbunuh adalah salah seorang ahli parti berkenaan.

Justeru, Jumblatt yang juga pencabar Presiden Michel Aoun merayu penyokongnya supaya bertenang dan tidak bertindak ganas.

“Walau apa pun yang berlaku, kita perlu melindungi negara ini. Jika kita gagal berbuat demikian, negara ini akan menjadi huru hara,” katanya dalam satu kenyataan.

Penunjuk perasaan yang memenuhi beberapa lokasi di Lubnan, mendesak pengunduran ahli politik yang gagal menjalankan tugas mereka dengan berkesan dan terbabit dengan rasuah. - AFP

Berita Harian X