Selasa, 12 November 2019 | 7:48pm
Polis memburu penunjuk perasaan prodemokrasi di sepanjang jalan ketika bantahan di Central, Hong Kong hari ini. -Foto AFP
Pekerja pejabat dan penunjuk perasaan prodemokrasi membuka payung untuk berlindung ketika demonstrasi di Central, Hong Kong hari ini. -Foto AFP
Pemandu tram memerhati pekerja pejabat yang mengadakan bantahan waktu kerja hari ini di Hong Kong. -Foto AFP

Hong Kong 'di ambang perpecahan total' akibat keganasan - Polis

HONG KONG: Polis Hong Kong melepaskan gas pemedih mata hari ini di daerah kewangan Central dan dua kampus universiti untuk menyuraikan bantahan prodemokrasi yang dikatakan mereka membawa bandaraya ditadbir China itu ‘di ambang perpecahan total.’

Pertembungan berlaku sehari selepas polis menembak seorang penunjuk perasaan pada jarak dekat dan seorang lelaki dicurah petrol sebelum dibakar dalam keganasan terburuk di wilayah bekas jajahan British itu selama berdekad.

Perhimpunan lebih 1,000 penunjuk perasaan, ramai memakai pakaian pejabat dan topeng muka di Central masuk hari kedua ketika waktu makan tengah hari, menyekat laluan di bawah mercu tanda tertinggi bandaraya itu yang juga hartanah paling mahal Hong Kong.

Selepas mereka bersurai, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang enggan berganjak di jalan lama dan sempit Pedder Street.

Polis membuat lebih 12 tangkapan, ramai ditahan pada dinding kaki lima menempatkan kedai perhiasan mewah Tiffany & Co. Pihak berkuasa kemudian menutup Pedder Street yang kembali tenang ketika pekerja pejabat pulang ke rumah.

“Masyarakat kita kini diheret ke ambang perpecahan total,” kata jurucakap polis dalam taklimat, merujuk keganasan sejak dua hari lalu.

Katanya, perusuh bertopeng melakukan tindakan ‘gila’ seperti membuang sampah, basikal dan serpihan lain di landasan metro dan jaringan kuasa, melumpuhkan sistem pengangkutan.

Katanya, lelaki yang dibakar semalam dalam keadaan kritikal dan merayu maklumat mengenai siapa yang bertanggungjawab.

Polis turut melepaskan gas pemedih mata ke arah Universiti Bandar di Kowloon Tong dan Universiti China di mana penunjuk perasaan membaling bom petrol dan bata ke arah polis.

Penunjuk perasaan di Universiti Bandar mengumpul bata dan bom petrol di jambatan dan jalan lain serta membuat peranti kecil dengan paku, jelasnya untuk memancitkan tayar.

Jalan raya di dalam dan luar pintu masuk kampus Universiti China dipenuhi bata, serpihan lain dan kebakaran kecil ketika polis menumpaskan sesetengah penunjuk perasaan.

Sebuah van digunakan sebagai penghadang jalan dibakar. -Reuters

Berita Harian X