Selasa, 12 November 2019 | 7:08am
Imej yang disiarkan menunjukkan seorang lelaki (tengah) menyerang anggota kumpulan teater di Riyadh. Foto Agensi

Tiga peserta teater kena tikam di Riyadh

RIYADH: Tiga ahli sebuah kumpulan teater ditikam ketika mengadakan persembahan di sini, semalam, namun penyerang terbabit berjaya ditahan pihak berkuasa.

“Polis Riyadh berjaya menahan seorang penduduk Arab kerana memiliki sebilah pisau selepas dia menyerang dua lelaki dan seorang perempuan, yang juga anggota kumpulan teater,” lapor stesen televisyen tempatan, Al-Ekhbariya.

Menurut Al-Ekhbariya, kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil.

Berdasarkan rakaman yang disiarkan oleh stesen televisyen itu, seorang lelaki dilihat naik ke atas pentas lalu menyerang mangsa, yang sedang mengadakan persembahan muzikal.

Serangan itu berlaku ketika Arab Saudi sedang mempertingkatkan penganjuran pelbagai persembahan hiburan kepada rakyatnya.

Ia susulan pembaharuan yang dilaksanakan oleh Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, termasuk membenarkan penganjuran konsert, membuka pawagam dan menarik balik larangan wanita daripada memandu. - AFP

Berita Harian X