Isnin, 11 November 2019 | 8:53pm
Penunjuk perasaan Palestin bertikam lidah dengan tentera Israel ketika bantahan di penempatan Yahudi di perkampungan Shiyoukh berhampiran Hebron. -Foto EPA

Lelaki Palestin maut ditembak Israel di Tebing Barat

HEBRON: Seorang lelaki Palestin ditembak mati hari ini ketika pertembungan dengan tentera Israel di kawasan selatan jajahan diduduki Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin dan anggota medik.

Sumber perubatan Palestin mengenal pasti lelaki terbabit sebagai Omar al-Badawi, 22, ditembak di dada dengan peluru hidup sebelum dibawa ke hospital Ahali di bandar berhampiran di sini, namun disahkan meninggal dunia.

Tentera Israel tidak mengulas insiden di kem pelarian Al Arroub itu. Pertembungan berlaku ketika penduduk Palestin di Tebing Barat menyambut ulang tahun ke-15 kematian bekas pemimpinnya, Yasser Arafat.

Anggota medik juga melaporkan, Israel menggunakan peluru hidup dalam pertembungan di Fawwar, selatan bandar ini.

Hamas, pemimpin Islam di Semenanjung Gaza, melarang mana-mana acara menyambut kematian Arafat di wilayah terkepung Palestin itu. -AFP


Penduduk Palestin memakai selendang memaparkan gambar Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas dan penyandangnya, Yasser Arafat, ketika menghadiri ulang tahun ke-15 kematian Arafat di Ramallah, Tebing Barat hari ini. -Foto Reuters

Berita Harian X