Isnin, 11 November 2019 | 10:06am

Polis Hong Kong guna peluru hidup surai protes

HONG KONG: Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan prodemokrasi tercedera selepas polis melepaskan tembakan dalam kekacauan terbaru yang tercetus di kota kewangan itu hari ini.

Ia berlaku sehari selepas pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata bertujuan menyuraikan demonstrasi prodemokrasi yang berlarutan selama enam bulan.

Cable TV berkata, dalam kejadian di timur pulau Hong Kong hari ini, polis melepaskan peluru hidup ke arah penunjuk perasaan mengakibatkan seorang tercedera.

Rakaman video turut menyiarkan seorang penunjuk perasaan terbaring berlumuran darah namun dalam keadaan sedar.

Pihak berkuasa turut menggunakan penyembur lada sulah ke atas seorang penunjuk perasaan wanita sebelum menahannya selepas melempar objek ke arah polis.

Polis dalam satu kenyataan berkata, penunjuk perasaan radikal memasang penghadang di beberapa lokasi di seluruh bandar itu dan memberi amaran supaya perbuatan jenayah itu dihentikan serta merta. Mereka bagaimanapun enggan mengulas lanjut insiden tembakan yang mencederakan seorang penunjuk perasaan.

Kekacauan terbaru itu tercetus selepas seorang pelajar disahkan meninggal dunia di hospital minggu lalu akibat terjatuh dari tempat tempat tinggi ketika cuba melarikan diri dari pihak berkuasa.

Tunjuk perasaan berlarutan di bekas koloni British itu selepas penduduk berang dengan keganasan polis dan campur tangan Beijing dalam pentadbiran Hong Kong yang mengamalkan formula ‘satu negara, dua sistem’ sebaik diserahkan kembali kepada China pada 1997. - Reuters

Berita Harian X