Ahad, 10 November 2019 | 8:18am
Kira-kira 55,000 sukarelawan Bangladesh mengetuk pintu serta membuat pengumuman pada pembesar suara jalanan untuk memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhi zon bahaya di perkampungan, terletak di bawah paras laut. -Foto Agensi

Serangan Bulbul, 2 maut di Bangladesh, India pindah 2 juta penduduk

PULAU MOUSOUNI: Siklon tropika Bulbul membadai India dan selatan Bangladesh semalam, menyebabkan dua maut ketika pihak berkuasa mengarahkan lebih dua juta penduduk berpindah.

Siklon itu, membawa angin kencnag sehingga 120 kilometer sejam, semakin melemah dan menyeberangi kawasan Bengal Barat, India dan pantai Khulna, Bangladesh kira-kira jam 9 malam waktu tempatan, kata Jabatan Meteorologi Dhaka dalam buletin khas.

“Ia kemungkinan bergerak ke arah timur laut dan semakin lemah secara berperingkat serta mungkin selesai menyeberangi pantai Bengal Barat-Khulna menjelang tengah malam tadi,” kata jabatan.

Lapangan terbang dan pelabuhan ditutup manakala kematian dilaporkan sebelum serangan penuh siklon berlaku.

Seorang mangsa maut akibat ditimpa pokok tumbang di Kolkata manakala seorang lagi akibat dinding runtuh berikutan angin kencang di Odisha, kata pihak berkuasa.

Lebih 60,000 orang berpindah dari kawasan pantai di sebelah sempadan India.

Lebih 60,000 orang berpindah dari kawasan pantai di sebelah sempadan India. -Foto Agensi

Setiausaha Pengurusan Bencana Bangladesh, Shah Kamal memberitahu AFP, seramai 2.028 juta orang dipindahkan dan ditempatkan di lebih 5,500 pusat perlindungan siklon.

Katanya, tiada laporan kematian dan menolak laporan dalam media tempatan bahawa puluhan nelayan tempatan hilang di pantai selatan.

Tentera Bangladesh dihantar ke beberapa perkampungan sementara kira-kira 55,000 sukarelawan mengetuk pintu serta membuat pengumuman pada pembesar suara jalanan untuk memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhi zon bahaya di perkampungan, terletak di bawah paras laut.

Satu pusuan ribut sehingga dua meter diramalkan berlaku di sepanjang pantai, kata Jabatan Meteorologi Bangladesh.

Kira-kira 1,500 pelancong terkandas di selatan pulau Saint Martin selepas perkhidmatan bot digantung akibat cuaca buruk.

Di India, penerbangan keluar masuk di lapangan terbang Kolkata digantung selama 12 jam akibat serangan siklon terbabit.

Di pulau Bengal Barat di sini, yang terletak di laluan siklon, penduduk yang ketakutan berlindung di sekolah dan bangunan kerajaan kerana gagal menyelamatkan diri.

Pihak berkuasa India berkata, pesawat dan kapal tentera diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga ketika kecemasan.

Bulbul membadai kawasan pantai di Sundarbans, hutan bakau terbesar dunia, yang terletak di Bangladesh dan timur India serta menempatkan spesies terancam termasuk harimau Bengal dan ikan lumba-lumba Irrawadi.

Kawasan pantai rendah di Bangladesh, menempatkan 30 juta penduduk, kerap dibadai siklon pemusnah. -AFP

Berita Harian X