Jumaat, 8 November 2019 | 12:32pm
FOTO hiasan.

Jepun rampas 400 kilogram kokain

TOKYO: Pihak berkuasa Jepun merampas 400 kilogram kokain dianggarkan bernilai AS$73 juta (RM301 juta) dalam satu serbuan di sebuah pelabuhan berhampiran bandar Kobe, kata jurucakap kastam hari ini.

Difahamkan rampasan yang dibuat bulan lalu itu hanya didedahkan hari ini kerana pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.

“Ia adalah rampasan terbesar membabitkan kokain yang pernah dilakukan pihak berkuasa,” kata jurucakap kepada AFP.

Ia jauh lebih besar berbanding rampasan pada Ogos lalu apabila pihak berkuasa merampas 177 kilogram kokain di sebuah pelabuhan lain di wilayah Aichi di tengah Jepun.

Agensi berita Kyodo berkata, masih tidak diketahui dari mana kokain itu datang dan dipercayai ia dihantar secara salah ke Kobe.

Jepun mengamalkan undang-undang dadah yang ketat dan sekiranya tertangkap, pengguna berdepan hukuman berat. - AFP

Berita Harian X