Jumaat, 8 November 2019 | 11:44am
XU Luying

China gelar penunjuk perasaan Hong Kong samseng

BEIJING: China menggelar penunjuk perasaan radikal Hong Kong sebagai samseng, kerana menggunakan keganasan untuk mempengaruhi pilihan raya tempatan akan datang, selepas seorang ahli politik pro-Beijing cedera ditikam baru-baru ini.

Jurucakap Hong Kong dan Pejabat Hal Ehwal Macau, Xu Luying berkata, serangan itu bukan saja satu jenayah berat tetapi keganasan pilihan raya yang sebenar.

Luying berkata, penunjuk perasaan radikal Hong Kong cuba mewujudkan ‘kesan mengerikan’ dengan mengancam dan menakutkan calon serta penyokong mereka.

Ia bertujuan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya majlis daerah itu dan merealisasi impian mereka untuk merampas kuasa politik.

Beliau menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap keganasan di Hong Kong bertujuan menyediakan suasana yang adil, saksama dan selamat menjelang pilihan raya di daerah terbabit pada 24 November ini.

Pada Oktober lalu, aktivis demokrasi Joshua Wong dihalang daripada bertanding merebut kerusi dalam pilihan raya akan datang.

Pegawai pilihan raya memutuskan bahawa konsep ‘menentukan nasib sendiri’ yang diperjuangkan parti pimpinan Wong, Demosisto, bercanggah dengan perlembagaan mini Hong Kong atau Basic Law.

Sejak lima bulan lalu, pusat kewangan antarabangsa itu digoncang protes ganas yang menuntut kebebasan demokrasi yang lebih meluas selain siasatan ke atas keganasan yang dilakukan polis. - AFP

Berita Harian X