Khamis, 7 November 2019 | 10:57pm
Gambar diambil pada 6 November 2019 memaparkan gambar potret Presiden Abedrabbo Mansour Hadi di jalan utama di Laut Merah Yaman. - Foto AFP

6 terbunuh serangan pemberontak di Yaman

ABU DHABI: Enam orang termasuk empat orang awam antara yang terbunuh dalam serangan pemberontak Yaman di pangkalan tentera di bandar pesisir pantai Laut Merah, Mokha kata sumber perubatan, hari ini.

Serangan itu turut memusnahkan hospital yang dikendalikan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) dan memaksa operasinya dihentikan sementara.

Serangan itu berlaku selepas beberapa minggu keadaan tenang di Yaman, sejajar dengan upacara menandatangani perjanjian aman antara kerajaan dan kumpulan pemisah selatan, mewujudkan peluang tipis untuk menamatkan konflik bertahun lamanya.

Pihak berkuasa Yaman berkata, pemberontak yang disokong Iran, memerangi kerajaan yang diiktiraf antarabangsa, melancarkan empat peluru berpandu balistik dan dron terhadap kedudukan ketenteraan di Mokha,

Menurut pasukan perubatan enam orang, termasuk empat orang awam terbunuh dan 26 lagi cedera.

“Sistem pertahanan udara ‘Patriot’ memintas tiga peluru berpandu, manakala yang keempat terkena pangkalan tentera,” kata sumber ketenteraan, yang tidak mahu dikenali.

Menurut sumber itu, serangan itu memusnahkan stor senjata yang digunakan oleh tentera pro- kerajaan. Pemberontak masih belum mengaku bertanggungjawab. - AFP

Berita Harian X