Ahad, 3 November 2019 | 4:53pm
KEADAAN jerebu di New Delhi. - Foto AFP
KEADAAN jerebu di New Delhi. - Foto AFP

Jerebu cecah paras berbahaya di New Delhi

NEW DELHI: Ibu negara India, New Delhi dilanda jerebu toksik, hari ini, pada tahap terburuk sejak beberapa tahun sehingga banyak penerbangan sama ada dialihkan atau ditangguhkan, ketika ahli politik saling menuding jari ke arah satu sama lain kerana gagal menangani krisis itu.

Pada setiap musim sejuk, bandar mega dengan 20 juta penduduk itu diselubungi jerebu asap kenderaan, asap industri dan asap hasil pembakaran sisa tanaman di ladang beberapa negeri jiran.

Kepekatan zarah halus berukuran kurang 2.5 mikron mencapai tahap tertinggi, musim ini, diburukkan lagi dengan tidak begitu banyak hujan, lewat semalam, menurut Sistem Ramalan dan Penyelidikan Cuaca Kualiti Udara (SAFAR).

Paras bacaan bahan pencemar atmosfera mencecah 810 mikrogram satu meter padu di zon berbahaya, pagi tadi, menurut kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Delhi yang melakukan pemantauan bebas.

Difahamkan, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mencadangkan paras maksimum selamat harian pada 25.

“Pencemaran sudah ke tahap tidak boleh diterima,” kata Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal, hari ini.

Ramai penduduk tempatan mengadu pedih mata dan tekak dengan ada yang memakai topeng sebagai perlindungan.

Paras penglihatan juga amat teruk sehingga syarikat Air India dan Vistara memaklumkan penerbangan ditangguhkan atau dialihkan dari atau ke lapangan terbang di Delhi. - AFP

Berita Harian X