Ahad, 3 November 2019 | 12:45pm
Pejabat agensi berita Xinhua yang rosak selepas diserang perusuh. Foto AFP
Pejabat agensi berita Xinhua yang rosak selepas diserang perusuh. Foto AFP

Perusuh serang pejabat Xinhua di Hong Kong

HONG KONG: Polis Hong Kong menahan lebih 200 orang dalam tempoh satu malam, atas pelbagai kesalahan, termasuk menyertai perhimpunan haram, memiliki senjata berbahaya, melakukan jenayah kerosakan dan memakai topeng muka.

Dalam kejadian semalam, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata, peluru getah dan meriam air bagi meleraikan penunjuk perasaan.

Namun, awal pagi tadi, insiden keganasan terus merebak dari pulau Hong Kong hingga ke kawasan Kowloon di utara wilayah berkenaan.

Peserta demonstrasi berang selepas Beijing dilihat cuba campur tangan dalam hak kebebasan Hong Kong, selepas ia diserah kembali oleh Britain pada 1997, namun China menyangkal tuduhan itu.

Jika sebelum ini, penunjuk perasaan menyasar bangunan milik firma dari tanah besar atau yang disyaki bersikap pro-Beijing, namun serangan ke atas pejabat agensi berita rasmi China, Xinhua semalam, dianggap satu cabaran kepada pemerintah.

Pada Julai lalu, peserta protes menyerang Pejabat Perhubungan China, iaitu simbol kedaulatan negara itu di kota raya berkenaan, dengan grafiti.

Xinhua mengutuk serangan berkenaan dan berkata ia dilakukan oleh sekumpulan samseng, yang memecah pintu serta sistem keselamatan, selain melontar api dan bom cat ke kawasan lobi.

“Tindakan perusuh, menunjukkan bahawa usaha untuk mengembalikan keadaan aman dan menghalang keganasan daripada berterusan di Hong Kong, adalah amat penting dan perlu dilakukan dengan segera,” kata jurucakap Xinhua di Facebook.

Sementara itu, wartawan Reuters yang mengunjungi lokasi terbabit hari ini, mendapati sekumpulan kakitangan pembersihan sedang membersihkan serpihan kaca pintu dan tingkap, sambil diperhatikan kakitangan syarikat media itu. - Reuters

Berita Harian X