Jumaat, 1 November 2019 | 7:37pm
Gambar dari udara menunjukkan New Delhi dipenuhi kabut tebal semalam. -Foto EPA
Gambar dari udara menunjukkan New Delhi dipenuhi kabut tebal semalam. -Foto EPA

Pencemaran teruk, sekolah New Delhi ditutup sehingga 5 Nov

NEW DELHI: Sekolah di ibu kota India di sini akan ditutup sehingga 5 November, kata kerajaan bandar hari ini ketika penduduk menyedut udara tercemar hari ketiga berturut-turut.

Ketika kebakaran ladang di negeri jiran membawa asap mencemarkan ke ibu kota ini, Ketua Menteri Arvind Kejriwal mengarahkan sekolah ditutup menerusi satu tweet.

Awal hari ini, satu panel alam sekitar dilantik kerajaan mengisytiharkan pencemaran udara di ibu kota ini sebagai satu kecemasan kesihatan awam, menurut laporan oleh rakan kongsi Reuters, ANI yang memetik sepucuk surat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Pencemaran Alam Sekitar.

“Ini adalah satu kecemasan kesihatan awam oleh kerana pencemaran udara amat berbahaya dan memiliki impak buruk kesihatan terhadap semua terutama kanak-kanak,” kata ANI memetik surat itu.

DJ radio Red FM Rohan (kanan) mengedarkan topeng muka kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal ketika kempen kesedaran di New Delhi semalam. -Foto AFP
DJ radio Red FM Rohan (kanan) mengedarkan topeng muka kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal ketika kempen kesedaran di New Delhi semalam. -Foto AFP

Indeks pemantau kerajaan yang mengesan pencemaran udara mencatat bacaan 500 di beberapa bahagian ibu kota ini, paras maksimum direkodkan Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat.

Indeks itu mengukur paras PM 2.5, partikel halus yang boleh meresap jauh ke dalam paru-paru. Paras melebihi 400 menunjukkan keadaan teruk namun meletakkan individu dengan paru-paru sihat serta mereka yang menghidap penyakit pernafasan berisiko.

Kerajaan juga akan mengehadkan jumlah kenderaan persendirian dalam bandar bermula minggu depan berdasarkan satu skim nombor plet kenderaan ‘ganjil-genap’. -Reuters

Berita Harian X