Rabu, 23 Oktober 2019 | 10:54am
KETUA Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto AFP

Beijing rancang singkir Carrie Lam

BEIJING: China merangka pelan menyingkirkan Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, menurut laporan Financial Times (FT) hari ini, selepas hampir lima bulan bantahan prodemokrasi dilancarkan.

Pemimpin pro-Beijing itu berhadapan kritikan berterusan penunjuk perasaan di bandar raya.

Setakat ini, kerajaan pusat di Berlin memberikan sokongan kepada Lam dan polis Hong Kong, menggelar penunjuk perasaan sebagai perusuh dan mengutuk keganasan.

Namun menurut laporan itu, memetik tokoh tidak dinamakan yang diberi taklimat mengenai perbincangan itu, kerajaan China merangka pelan menggantikan Lam dengan ketua eksekutif sementara.

Bagaimanapun, sumber memberitahu FT pelan itu bergantung kepada kestabilan bandar raya itu dahulu supaya Beijing tidak dilihat tunduk kepada keganasan.

Hong Kong sudah masuk minggu ke-20 digegarkan dengan bantahan dan dengan tiada penyelesaian politik, pertempuran memuncak setiap bulan.

Awal bulan ini, Lam, yang enggan memberikan sebarang perjanjian besar kepada penunjuk perasaan, menghidupkan semula undang-undang darurat era penjajahan yang melarang pemakaian topeng muka, mencetuskan gelombang baharu tunjuk perasaan dan vandalisme yang menyebabkan penutupan kebanyakan rangkaian pengangkutan di kepulauan itu.

Jika Presiden Xi Jinping memutuskan untuk meneruskan pelan menyingkirkan Lam, laporan menyatakan penggantinya akan diletakkan pada Mac ini.

Calon utama dipertimbangkan untuk menggantikan Lam dilaporkan termasuk bekas ketua Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong, Norman Chan dan Henry Tang, yang juga bertindak sebagai setiausaha kewangan wilayah itu dan ketua setiausaha bagi pentadbiran. — AFP

Berita Harian X