Rabu, 23 Oktober 2019 | 10:39am
KETUA Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam (tengah) melawat Masjid Kowloon. - Foto Reuters

Pemimpin Hong Kong lawat masjid disembur pewarna biru

HONG KONG: Pemimpin pro-Beijing dan ketua polis bandar raya Hong Kong melawat masjid yang disembur dengan pewarna biru ketika bantahan ganas terbaharu di kepulauan itu kelmarin.

Pintu masuk ke Masjid Kowloon, hab antarabangsa terbesar, disembur dengan trak meriam air Ahad lalu, menyebabkan kemarahan dalam kalangan penduduk Islam dan penunjuk perasaan.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam dan ketua polis, Stephen Lo, melakukan lawatan ke masjid itu, dengan dikawal ketat.

Mereka keluar 20 minit kemudian tanpa bercakap dengan media.

Wakil masjid memberitahu wartawan, kedua-duanya meminta maaf di atas kejadian itu dan pihak masjid menerima permohonan maaf itu.

Wakil masjid turut berterima kasih kepada jemaah dan orang ramai yang hadir membersihkan masjid berkenaan tidak lama selepas kejadian itu.

Polis menggunakan pewarna, yang selalu dicampur dengan bahan menyebabkan kegatalan, sebagai cara mengenali penunjuk perasaan tetapi kerap menyebabkan jalan raya dan bangunan dicemari warna biru.

Rakaman video Ahad lalu menunjukkan trak berbaris di luar bangunan ketika konfrontasi dengan penunjuk perasaan, berhenti sekejap kemudian menyembur beberapa wartawan dan orang ramai yang berkumpul di jalan raya.

Kumpulan itu, yang bukan kalangan penunjuk perasaan, disembur dua kali, dengan warna biru terang itu mencemarkan pintu masuk dan tangga masjid.

Polis mengeluarkan kenyataan Ahad lalu menyatakan pihaknya tersilap melakukan semburan ke arah masjid tetapi tidak meminta maaf. — Agensi

Berita Harian X