Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:29am
KEBAKARAN besar di pusat konvensyen yang masih dalam binaan di kompleks kasino di Auckland masih mengeluarkan asap tebal di seluruh bandar raya terbesar di New Zealand. - Foto AFP

Kebakaran paksa New Zealand cari lokasi alternatif jayakan APEC

WELLINGTON: Kebakaran besar di pusat konvensyen yang masih dalam binaan di kompleks kasino di Auckland masih mengeluarkan asap tebal di seluruh bandar raya terbesar di New Zealand itu hari ini.

Keadaan itu memaksa jalan raya ditutup dan pekerja menjauhi lokasi itu hampir 24 jam selepas ia bermula.

Kebakaran memaksa seluruh kompleks SkyCity Entertainment Group termasuk hotel, kasino dan restoran dikosongkan apabila ia bermula sekitar tengah hari semalam.

“Dengan jangkaan presint itu akan dibuka semula esok, kami berharap api dapat dikawal malam ini,” kata Ketua Eksekutif SkyCity, Graeme Stephens, kepada sidang akhbar.

Pasukan kecemasan berkata, tiada kecederaan dilaporkan akibat kebakaran itu, walaupun seorang anggota bomba menerima rawatan selepas jatuh sakit di lokasi semalam.

Lebih 25 kereta bomba dikejarkan ke tempat kejadian

ketika anggotanya bergelut memadamkan api besar sepanjang malam.

Datuk Bandar Auckland, Phil Goff, memberitahu akhbar New Zealand Herald pusat itu berkemungkinan tidak bersedia untuk menjadi hos pemimpin dunia dan acara pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada 2021.

“Anda perlu percaya kemampuan pusat itu menjadi hos mesyuarat APEC dalam bahaya,” katanya.

Goff berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan mengenai lokasi ‘Pelan B’.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, dijangka melawat Auckland lewat hari ini. — Reuters

Berita Harian X