Rabu, 23 Oktober 2019 | 12:03am

Enam anggota polis Iraq maut diserang militan Daesh

TIKRIT: Enam anggota polis termasuk dua pegawai kanan maut selepas militan Daesh melepaskan tembakan semasa satu misi tinjauan di utara Iraq hari ini.

Serangan militan terhadap pasukan keselamatan adalah perkara biasa di Iraq, tetapi jarang membabitkan pegawai kanan.

Sumber dari Pusat Pemerintah Operasi Samara berkata, pegawai kanan itu ialah Mejar Jeneral Ali al-Lami yang mengetuai Divisyen Keempat Polis Persekutuan Iraq dan Brigadier Jeneral Mohammed Allawi dari unit sama yang terbunuh bersama empat anggota lain.

Sumber berkata, semasa kejadian anggota polis terbabit sedang melakukan misi tinjauan di Zor yang terletak di kawasan utara Samara di Salahuddin, di sini.

Katanya, militan melepaskan tembakan ke atas kumpulan itu sejurus mereka tiba di sana.

Sementara itu, pegawai tentera Iraq berkata, helikopter melepaskan tembakan di kawasan semak di mana militan dipercayai sedang bersembunyi.

Susulan insiden itu, Kementerian Pertahanan Iraq mengeluarkan satu kenyataan mengenai ucapan takziah kepada pegawai dan anggota polis yang terkorban itu. -Reuters.

Berita Harian X