Selasa, 22 Oktober 2019 | 4:06pm

Aplikasi TikTok haram video propaganda Daesh

BEIJING: Aplikasi media sosial TikTok mengharamkan akaun yang memuat naik video propaganda untuk kumpulan militan Daesh, selepas platform popular itu dilanda satu lagi skandal, kata kakitangan syarikat terbabit.

TikTok yang dimiliki firma China, ByteDance, mendakwa mempunyai 500 juta pengguna di seluruh dunia tahun lalu menjadikannya salah satu daripada aplikasi sosial paling popular.

Menurut seorang petugas di TikTok, kira-kira 10 akaun disekat kerana memuat naik video berkenaan.

Wall Street Journal berkata, video terbabit turut memaparkan mayat yang diarak sepanjang jalan serta militan Daesh yang lengkap bersenjata.

Entri itu dipercayai dimuat naik puluhan akaun yang dikenal pasti oleh syarikat perisikan media sosial, Storyful.

“Kandungan yang mempromosi organisasi pengganas sememangnya tiada tempat di TikTok,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

April lalu, TikTok diharamkan seketika oleh mahkamah India selepas didakwa mempromosikan pornografi dalam kalangan kanak-kanak.

Aplikasi itu turut diharamkan di Bangladesh dan didenda di Amerika Syarikat (AS) kerana mengumpul maklumat daripada kanak-kanak secara haram.

Syarikat itu menafikan semua dakwaan mengatakan mereka mematuhi undang-undang kerahsiaan tempatan. - AFP

Berita Harian X