Selasa, 22 Oktober 2019 | 1:32pm
Serangan Taufan Hagibis membawa hujan lebat luar biasa sehingga menyebabkan 20 sungai melimpah, menurut pegawai jabatan kaji cuaca. -Foto Agensi

Jepun beri amaran hujan lebat, banjir lumpur di kawasan serangan taufan

TOKYO: Agensi kaji cuaca di Jepun memberi amaran kepada penduduk ibu kota ini dan utara Nagano, hujan lebat bermula hari ini mungkin mencetuskan banjir dan banjir lumpur termasuk kawasan yang baharu pulih daripada serangan taufan ganas.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata, hujan lebat dijangka turun sepanjang hari dengan gelombang dan ribut petir tidak mustahil di ibu kota ini serta potensi banjir dan banjir lumpur di sebahagian wilayah Nagano, barat laut Tokyo termasuk bandar Nagano.

Pihak berkuasa juga memberi amaran, tanah runtuh dan banjir tidak mustahil walaupun di kawasan di mana amaran rasmi tidak dikeluarkan.

Serangan Taufan Hagibis awal bulan ini membadai kawasan utara dan tengah Jepun dengan Nagano, Fukushima dan Miyagi terjejas teruk.

Pejabat pengurusan bencana kerajaan berkata, sehingga semalam, 70 kematian disahkan akibat serangan Hagibis dengan 12 orang dikhuatiri hilang.

Hujan lebat akibat taufan menyebabkan sungai melimpah atau merosakkan empangan di puluhan tempat. Hasil tanaman turut terjejas teruk termasuk epal, kobis dan timun. Kerosakan pertanian dianggarkan mencecah 70 bilion yen (RM2.93 bilion).

Wilayah Miyagi di mana sehingga 10 sentimeter hujan diramalkan, memberi amaran kepada penduduk, kawasan yang terjejas akibat taufan mungkin terdedah kepada banjir, kata pihak berkuasa. -Agensi

Berita Harian X