Selasa, 22 Oktober 2019 | 9:31am
PESAWAT penumpang tanpa henti mendarat di Australia pagi kelmarin.

Penerbangan tanpa henti paling lama mendarat di Sydney

SYDNEY: Pesawat penumpang tanpa henti mendarat di Australia pagi kelmarin selepas lebih 19 jam di udara, penerbangan penting dari New York yang diharapkan syarikat penerbangan kebangsaan negara itu, Qantas, bakal mencatatkan kejayaan komersial.

Penerbangan QF7879 Qantas mengambil masa 19 jam dan 16 minit untuk terbang secara terus dari New York ke Sydney dalam satu daripada tiga ‘penerbangan amat panjang’ yang dirancang syarikat penerbangan itu tahun ini.

Qantas sedang mengadakan ujian penerbangan, termasuk satu dari London ke Sydney, ketika ia mempertimbangkan perkhidmatan biasa laluan panjang dari AS dan Britain ke Australia.

Cuma 49 orang berada dalam pesawat Boeing 787-9 itu untuk meminimumkan berat dan memberikan kapal terbang itu minyak mencukupi untuk terbang lebih 16,000 kilometer tanpa isian semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce, menyifatkan ia sebagai saat paling bersejarah bagi syarikat dan dunia penerbangan.

“Ini adalah yang pertama daripada tiga ujian penerbangan yang akan dilakukan dengan cadangan mengenai cara kami menangani masalah keletihan juruterbang dan menguruskan gangguan ritma penumpang.

“Selepas 19 jam dalam penerbangan itu, saya rasa kami dalam laluan betul.

“Ia seolah-olah kami dalam penerbangan lebih pendek daripada itu,” katanya kepada wartawan selepas tiba di Sydney.

Qantas berpasangan dengan dua universiti di Australia untuk memantau sejauh mana gangguan ritma menjejaskan kesihatan penumpang dan kru sebaik melintasi zon pelbagai waktu.

Selepas menaiki pesawat, penumpang menetapkan jam mengikut waktu Sydney dan dibiarkan berjaga sehingga malam tiba di timur Australia dengan memasang lampu, bersenam, penggunaan kafein dan hidangan khas.

Enam jam kemudian, mereka dihidangkan dengan hidangan karbohidrat tinggi, diberitahu jangan menonton dan lampu digelapkan untuk menggalakkan penumpang tidur. — Agensi

Berita Harian X