Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:21am
BENJAMIN Netanyahu. - Foto AFP

Netanyahu putus asa bentuk kerajaan perpaduan

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memaklumkan presiden wilayah itu semalam beliau tidak dapat membentuk kerajaan baharu susulan kebuntuan pada pilihan raya September lalu.

Ia membuka jalan kepada pencabarnya, Benny Gantz, untuk cuba melakukannya.

Keputusan itu adalah kekalahan kepada Netanyahu ketika beliau cuba meneruskan penguasaannya sebagai perdana menteri Israel paling lama berkhidmat tetapi tidak bermakna usahanya sudah berakhir kerana beliau masih ada cara untuk melaksanakannya.

Gantz akan berhadapan masalah panjang dalam membentuk kerajaan, dengan ramai penganalisis meramalkan beliau juga akan gagal untuk berunding penubuhan kerajaan perpaduan.

Dalam kes itu, Presiden Reuven Rivlin, akan meminta majoriti anggota Parlimen bersetuju dengan calon perdana menteri.

Rivlin berjanji berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan satu lagi pilihan raya, yang ketiga sejak April, tetapi kebuntuan ketika itu mungkin menjadi sebab ia diadakan.

Netanyahu yang bergelut dengan ancaman kelangsungan politiknya, juga berhadapan kemungkinan dakwaan rasuah beberapa minggu lagi.

“Saya memaklumkan presiden bahawa saya menyerahkan mandat untuk cuba membentuk kerajaan,” kata Netanyahu dalam video yang disiarkan di laman Facebook rasminya.

Beliau menyalahkan Gantz kerana enggan merundingkan syarat pilihannya.

Rivlin berkata, beliau akan meminta Gantz untuk cuba membentuk kerajaan dan beliau juga cuma mempunyai masa 28 hari untuk berbuat demikian. — Agensi

Berita Harian X