Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:17am
Tamanna Nusrat (kanan), yang menganggotai parti Liga Awami, dituduh membayar wanita yang seiras dengannya untuk mengambil sekurang-kurangnya 13 peperiksaan bagi pihak dirinya di BOU. -Foto Agensi

MP Bangladesh upah wanita 'seiras' duduki peperiksaan universiti

DHAKA: Seorang pembuat dasar Bangladesh diusir daripada sebuah universiti selepas didakwa mengupah sehingga seramai lapan orang yang berwajah serupa untuk mengambil peperiksaan bagi pihaknya, kata pihak berkuasa semalam.

Tamanna Nusrat, daripada parti Liga Awami, dituduh mengupah wanita yang seiras dengannya untuk mengambil sekurang-kurangnya 13 peperiksaan.

Skandal itu didedahkan selepas penyiar persendirian Nagorik TV memasuki dewan ujian dan menemui seorang daripada wanita yang menyamar sebagai Nusrat, dalam video yang kemudian menjadi tular.

Tamanna, yang dipilih ke Parlimen tahun lalu, melanjutkan pengajian untuk ijazah Sarjana Muda Seni di Universiti Terbuka Bangladesh (BOU).

“Kami mengusirnya kerana beliau melakukan jenayah. Jenayah tetap jenayah. Kami membatalkan pendaftaran pengajiannya. Beliau tidak boleh mendaftar semula ke sini,” kata Ketua BOU, M A Mannan.

“Pelajar proksi dilindungi oleh pengawal peribadinya ketika mereka menduduki ujian. Semua orang mengetahuinya namun tiada siapa bersuara kerana beliau berasal daripada keluarga berpengaruh,” kata seorang pegawai kolej.

Tamanna gagal dihubungi untuk mengulas. Pemalsuan ujian, menipu dan kebocoran kertas soalan sebelum peperiksaan adalah biasa di Bangladesh, menyebabkan pihak berkuasa kerap membatalkan keputusannya. -AF

Berita Harian X