Isnin, 21 Oktober 2019 | 4:47pm

Carrie Lam minta maaf, masjid terkena meriam air

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam memohon maaf kepada pemimpin komuniti Islam selepas sebuah masjid terkena tembakan meriam air milik polis antirusuhan ketika cuba menyuraikan penunjuk perasaan di kota kewangan itu.

Lam sempat menjenguk keadaan masjid Kowloon pagi ini, sebelum berlepas ke Jepun bagi menghadiri upacara pertabalan Putera Naruhito di Tokyo.

Rusuhan yang tercetus semalam itu memaksa polis antirusuhan menggunakan trak meriam air bagi menyembur cecair berwarna biru bertujuan menyuraikan rusuhan.

Tindakan itu mengakibatkan air berwarna biru bertakung di bahagian hadapan dan tangga pusat ibadat serta aktiviti utama penduduk Islam di Hong Kong berkenaan.

Jurucakap berkata, Lam yang lengkap berselendang melawat masjid terbabit dan meminta maaf kepada pemimpin Islam di pusat itu.

Ketua Imam, Muhammd Arshad berkata pihaknya sudah memaafkan dan berharap komuniti Islam dapat hidup dengan aman di Hong Kong.

Kekacauan semalam dipercayai tercetus susulan ucapan dasar tahunan minggu lalu yang menyentuh usaha Lam untuk mengurangkan ketegangan dengan menangani masalah perumahan yang kronik.

Beliau juga berjanji untuk menarik balik rang undang-undang ekstradisi yang mencetuskan huru-hara dan meneruskan perbincangan dengan orang awam.

Setakat ini, Lam enggan memenuhi tuntutan penunjuk perasaan termasuk mewujudkan siasatan bebas ke atas kekejaman polis. - Reuters

Berita Harian X