Selasa, 15 Oktober 2019 | 12:50pm
Polis Hong Kong berkata, mereka menahan 201 orang berusia antara 14 dan 62 tahun. Pihak hospital berkata, 79 orang mendapatkan rawatan semalam dengan 12 anggota polis cedera termasuk seorang yang ditikam hujung minggu lalu. -Foto EPA
Polis Hong Kong berkata, mereka menahan 201 orang berusia antara 14 dan 62 tahun. Pihak hospital berkata, 79 orang mendapatkan rawatan semalam dengan 12 anggota polis cedera termasuk seorang yang ditikam hujung minggu lalu. -Foto EPA

Bom buatan tangan diletupkan dalam bantahan Hong Kong

HONG KONG: Sebutir bom buatan tangan diletupkan di bandaraya ini semalam di tengah bantahan ganas, kata polis hari ini, menunjukkan kemuncak rusuhan jalanan meningkat antara polis dan penunjuk perasaan.

Peranti itu disembunyikan dalam semak dan diaktifkan menggunakan telefon bimbit ketika kenderaan polis melalui daerah Mong Kok di Kowloon, kata Superintendan Unit Pemusnah Bom Hong Kong, Suryanto Chin-chiu dalam sidang media.

Polis berkata, bom itu tidak menyebabkan kerosakan atau kecederaan, namun ia kali pertama peranti itu digunakan sejak bantahan selama lebih empat bulan.

Satu ketika dulu bersenjatakan hanya payung untuk melindungi daripada hujan atau mungkin gas pemedih mata, penunjuk perasaan semakin berani menggunakan bata serta batu perhiasan tepi jalan selain pisau dan bom minyak tanah bagi membalas tindakan polis.

Bom diubah suai digunakan semalam bagaimanapun jauh lebih rumit dari segi pembuatan berbanding bom minyak tanah dan memerlukan kemahiran tinggi dalam pembuatannya.

Timbalan pesuruhjaya polis, Tang Ping-keung berkata, pasukannya percaya peranti itu bertujuan mencederakan pegawai polis.

“Tindakan ganas ini bukan penunjuk perasaan. Mereka sebenarnya perusuh dan penjenayah yang memusnahkan peraturan undang-undang kita.

“Apa saja tujuan bantahan, tindakan jenayah seperti ini tidak boleh dijustifikasi,” katanya.

Imej peranti itu menunjukkan beg plastik merah, wayar, bateri, sebuah telefon bimbit Nokia dan papan litar yang biasanya digunakan peminat letupan.

Polis berkata, mereka menahan 201 orang berusia antara 14 dan 62 tahun. Pihak hospital berkata, 79 orang mendapatkan rawatan semalam dengan 12 anggota polis cedera termasuk seorang yang ditikam hujung minggu lalu. -AFP

Berita Harian X