Jumaat, 11 Oktober 2019 | 10:55pm

Korea Selatan kurangkan 100,000 tentera

SEOUL: Tentera Korea Selatan berkata, ia akan mengurangkan 100,000 anggota, dalam tempoh tiga tahun akan datang, disebabkan masalah penyusutan populasi.

Seoul melaksanakan kerahan tenaga terhadap warga lelaki sihat selama dua tahun berdepan seteru kuasa nuklear, Korea Utara yang mempunyai lebih ramai tentera.

Tentera akan dikurangkan daripada jumlah semasa sebanyak 464,000 orang, menjelang 2022, menurut laporan tentera kepada pembuat dasar.

Katanya, sejajar dengan pengurangan itu, jumlah kompeni tentera akan turun daripada lapan kepada enam dan daripada 38 kepada 33 divisyen menjelang 2025.

Jumlah 600,000 tentera Korea Selatan masih terlalu kecil berbanding hampir 1.3 juta tentera Korea Utara, menurut kertas putih pertahanan Seoul 2018.

Bagi menangani kekurangan anggota, tentera menegaskan ia akan membangunkan strategi generasi seterusnya seperti kenderaan penerbangan dan sistem risikan buatan, menurut Yonhap.

Difahamkan, pengurangan tentera itu dilakukan, ketika kerajaan Korea Selatan sukar merangsang kadar kesuburan negara terbabit.

Jumlah jangkaan anak untuk setiap wanita negara itu susut kepada 0.98 orang pada 2018, ia jauh daripada kadar 2.1 yang diperlukan bagi mengimbangi kestabilan populasi.

Korea Utara kini mempunyai populasi 51 juta, ia dijangka menurun kepada 39 juta, menjelang 2067, ketika umur purata berada pada 62 tahun. - AFP

Berita Harian X