Rabu, 9 Oktober 2019 | 1:59pm
Li Shaodong (tengah) diringi pegawai imigresen diusir selepas mengoyak poster di Tembok Lennon di kampus universiti di Taipei. - Foto AFP

Taiwan halau pelancong China rosakkan 'Tembok Lennon'

TAIPEI: Taiwan mengusir seorang pelancong China kerana merosakkan ‘Tembok Lennon’ yang didirikan sebagai menyokong pergerakan demokrasi Hong Kong, tindakan yang bakal menaikkan kemarahan Beijing.

Pelancong berkenaan, dikenali sebagai Li Shaodong, diusir lewat semalam kerana terbabit dalam aktiviti jenayah selepas ditangkap mengoyak poster di Tembok Lennon di kampus universiti di Taipei, kata Agensi Imigresen Kebangsaan.

“Kerajaan kami tidak bertolak ansur dengan sebarang tindakan salah yang merosakkan demokrasi dan kebebasan dengan niat jahat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau kini dilarang melancong ke Taiwan selama lima tahun.

Dipercayai ini adalah pengusiran pertama dari Taiwan yang dikaitkan dengan bantahan Hong Kong.

Aktivis prodemokrasi Hong Kong mendirikan Tembok Lennon, menghiasinya dengan nota lekat pelbagai warna, poster dan slogan di seluruh bandar raya itu, dan turut didirikan di Taiwan, terutama di kampus universiti.

Taiwan menunjukkan sokongan meluas kepada bantahan yang menggegarkan Hong Kong selama empat bulan, tetapi penyokong Beijing mensasarkan perhimpunan dan menubuhkan pergerakan menyokong China.

Taiwan memerintah sendiri sejak akhir perang saudara pada 1949, tetapi China melihat kepulauan itu sebagai salah satu wilayahnya dan berjanji akan merampasnya, dengan kekerasan jika perlu. — AFP

Berita Harian X