Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:57pm
Sehingga 27 September lalu, negara Islam ultra konservatif itu mengeluarkan visa hanya kepada jemaah beragama Islam, pekerja asing dan baru-baru ini penonton dalam acara sukan atau budaya. -Foto Agensi

24,000 pelancong dalam 10 hari kunjungi Arab Saudi

RIYADH: Arab Saudi menerima kunjungan 24,000 pelancong dalam tempoh 10 hari selepas ia memperkenalkan visa untuk tujuan berkenaan buat kali pertama, lapor saluran televisyen tempatan hari ini.

Pada 27 September lalu, Arab Saudi mengumumkan, ia akan mula menawarkan visa pelancong, membuka negara pentadbiran diraja konservatif itu kepada pelawat bukan untuk tujuan beribadat, sebagai sebahagian langkah mempelbagaikan ekonomi selain minyak.

“Dalam tempoh 10 hari, kira-kira 24,000 pelancong asing memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong,” lapor saluran televisyen berkenaan memetik Kementerian Luarnya.

Sehingga 27 September lalu, negara Islam ultra konservatif itu mengeluarkan visa hanya kepada jemaah haji dan umrah, pekerja asing dan baru-baru ini penonton dalam acara sukan atau budaya.

Bagi menggalakkan lebih ramai pelawat, Ahad lalu, pihak berkuasa mengumumkan, mereka membenarkan pasangan pelancong asing yang tidak berkahwin menyewa bilik hotel bersama.

Langkah menggalakkan kedatangan pelancong itu adalah antara program pembaharuan Visi 2030 diperkenalkan Putera Mohammad bin Salman untuk mempelbagaikan ekonomi era pasca minyak Arab Saudi.

Rakyat dari 49 negara kini layak memohon visa elektronik dalam talian atau visa ketibaan termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, bebeapa negara Eropah, Malaysia, Singapura, Korea Selatan, China dan Kazakhstan. -AFP

Berita Harian X