Selasa, 8 Oktober 2019 | 6:51pm
Mahasiswa Universiti Baptis Hong Kong mengambil bahagian dalam bantahan hari ini selepas polis memasuki kampus mereka kelmarin untuk memburu penunjuk perasaan. -Foto Reuters

77 penunjuk perasaan ditahan, Tiffany tarik balik tweet tutup mata

HONG KONG: Polis wilayah ini berkata, 77 orang ditahan kerana melanggar undang-undang anti-topeng muka yang digubal hujung minggu lalu mengikut perintah darurat dilaksanakan pemimpin bandar bagi membendung bantahan jalanan anti-kerajaan yang bertukar ganas.

Sejak Jumaat lalu, lebih 200 kedai dan kemudahan awam dirosakkan dalam rusuhan dan polis melepaskan 367 pusingan gas pemedih mata, kata jurucakap polis dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Tiffany & Co menarik balik satu tweet menunjukkan seorang wanita menutup sebelah mata selepas pengguna China menuduh syarikat barang kemas itu menyokong penunjuk perasaan di sini.

Gambar semalam menunjukkan model China, Sun Feifei memakai sebentuk cincin Tiffany pada jari kanan sambil tangannya menutup mata kanan.

Pembeli China yang berang percaya, ia adalah gaya sengaja digunakan penunjuk perasaan prodemokrasi untuk mengecam keganasan polis di bandar semi autonomi itu. -Reuters/AFP

Berita Harian X