Selasa, 8 Oktober 2019 | 5:42pm
Gambar fail 25 Ogos 2017 menunjukkan pewaris Samsung Group, Lee Jae-yong meninggalkan Mahkamah Daerah Seoul Pusat selepas keputusan perbicaraan ke atasnya. -Foto AFP

Pewaris Samsung berdepan perbicaraan tambahan rasuah, lepas jawatan lembaga pengarah

SEOUL: Pewaris Samsung Group (Samsung), Lee Jae-yong berhasrat melepaskan jawatan sebagai anggota lembaga pengarah syarikat gergasi itu elepas tempoh kepimpinannya tamat hujung bulan ini ketika beliau berdepan satu lagi perbicaraan rasuah.

Pewaris jutawan itu tidak akan melanjutkan penggal tiga tahun sebagai ahli lembaga pengarah gergasi teknologi terbabit apabila tempohnya tamat 26 Oktober ini, namun masih menjadi tulang belakang syarikat pembuat cip dan telefon bimbit terbesar dunia, kata sumber.

Jae-yong sebaliknya akan terus menguruskan Samsung Electronics sebagai Naib Presiden walaupun anggota lembaga pengarah mengawal keseluruhan operasi, tambah individu yang enggan dikenali itu.

Pewaris berusia 51 tahun itu berisiko disumbat ke dalam penjara berikutan tuduhan tambahan dalam kes terkenal di Korea Selatan yang menyaksikan bekas Presiden Park Geun-hye digulingkan.

Dalam kes terdahulu, Jae-yong menghabiskan setahun di penjara kerana tuduhan menawarkan dana kepada seorang pembantu Geun-hye sebagai balasan sokongan penggabungan pada 2015 untuk mengawal kumpulan Samsung.

Sejak dibebaskan pada 2018, Jae-yong sibuk memulihkan imejnya yang tercalar. Beliau menyertai Presiden Moon Jae-in ketika kunjungan ke India dan Pyongyang serta mengembangkan rangkaian perniagaan menerusi pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman serta jutawan India, Mukesh Ambani. -Agensi

Berita Harian X