Ahad, 29 September 2019 | 7:26pm
Pencabar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Benny Gantz.
Pencabar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Benny Gantz.

Rundingan bentuk kerajaan perpaduan Israel gagal lagi

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pencabarnya, Benny Gantz, saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung kegagalan usaha mencapai perjanjian kerajaan perpaduan berikutan kebuntuan pada pilihan raya.

Pusingan baru rundingan antara parti Likud pimpinan Netanyahu dan Blue and White pimpinan Gantz gagal hari ini dan kedua-dua pihak masih jauh untuk mencapai persefahaman.

Likud berkata, Netanyahu akan membuat usaha akhir untuk mencapai perjanjian sebelum memaklumkan Presiden Reuven Rivlin beliau gagal membentuk kerajaan.

Ia terpulang kepada Rivlin untuk memutuskan sama ada meminta Gantz melakukannya atau menggesa Parlimen bersetuju mengenai calon perdana menteri dengan sekurang-kurangnya 61 undian daripada 120 ahli Parlimen.

Netanyahu akan membuat usaha akhir merealisasikan kemungkinan pembentukan kerajaan pada tahap ini, sebelum mengembalikan mandat kepada presiden, kata Likud dalam kenyataan.

Ia menyifatkan pusingan terkini rundingan adalah ‘kekecewaan besar’.

Blue and White menuduh Likud ‘melemparkan slogan dengan matlamat utama mendapatkan sokongan sebagai persiapan mengheret Israel ke dalam satu lagi pusingan pilihan raya atas arahan Netanyahu.

Pilihan raya bulan ini adalah yang kedua pada 2019, selepas Netanyahu gagal membentuk kerajaan campuran susulan proses pengundian April lalu. — AFP

Berita Harian X