HONG KONG: Pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis pencegah rusuhan di Hong Kong masuk hari kedua hari ini dengan pegawai melepaskan tembakan gas pemedih mata di daerah beli-belah sibuk.
Aktivis prodemokrasi meningkatkan kempen mereka yang sudah berlanjutan empat bulan di hab kewangan itu menjelang perayaan sempena ulang tahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China bermula Selasa ini.
Polis menembak gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di Causeway Bay selepas orang ramai yang marah mengepung dan memaki hamun pegawai yang mengadakan pemeriksaan dan melakukan beberapa tangkapan.
Keganasan terbaharu berlaku selepas pegawai menggunakan pemedih mata, semburan lada hitam dan meriam air malam semalam untuk menyuraikan aktivis tegas yang membaling batu dan bom petrol ke arah pejabat kerajaan.
China melakukan persiapan pesta besar dan ketat termasuk perarakan tentera di Beijing untuk menonjolkan kemunculan negara itu sebagai kuasa besar global.
Namun kekacauan berterusan di Hong Kong mengancam membayangi perayaan itu ketika bandar raya separuh autonomi itu digegarkan dengan kemarahan orang awam berhubung penghakisan kebebasan istimewanya di bawah pemerintahan Beijing.
Sejak 17 minggu lalu, Hong Kong menyaksikan kekecohan politik paling buruk sejak penyerahan ia semula kepada China pada 1997 dengan perhimpunan prodemokrasi selain pertempuran yang semakin meningkat. — AFP