Ahad, 22 September 2019 | 8:17am
POLIS pencegah rusuhan dan penunjuk perasaan Hong Kong bertempur berhampiran sempadan China semalam. - Foto Reuters
POLIS pencegah rusuhan dan penunjuk perasaan Hong Kong bertempur berhampiran sempadan China semalam. - Foto Reuters

Polis, penunjuk perasaan bertempur lagi di Hong Kong

HONG KONG: Polis pencegah rusuhan dan penunjuk perasaan Hong Kong bertempur berhampiran sempadan China semalam.

Ia pertempuran terbaharu ketika bantahan prodemokrasi besar-besaran yang melanda hab kewangan itu selama lebih tiga bulan.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah sekumpulan aktivis tegar yang membina halangan di bandar Tuen Mun, sebahagian mereka membaling bata dan sekurang-kurangnya satu koktel Molotov.

Beberapa orang dilihat ditahan dalam pertempuran itu, yang kurang dahsyat berbanding pertempuran sengit minggu terdahulu.

Penunjuk perasaan menonjolkan video tular polis di pekan Yuen Long menggunakan penyembur lada untuk menewaskan seorang warga emas berusia 73 tahun dikenali sebagai ‘Uncle Chan’ atau ‘Grandpa Chan’, digambarkan sebagai aktivis terkenal yang menggesa polis tidak bertindak ketika demonstrasi.

Hong Kong digegarkan dengan perhimpunan selama 16 minggu berturut-turut yang kadang-kadang bertukar ganas menggesa kebebasan demokratik lebih luas dan akauntabiliti polis.

Ia adalah cabaran terbesar kepada pentadbiran China sejak Hong Kong diserahkan semula oleh Britain pada 1997 dan tidak menunjukkan tanda akan berakhir, dengan pemimpin bandar raya itu dan di Beijing mengambil pendekatan keras.

Dalam corak lebih biasa kini, hari bermula dengan perhimpunan aman.

Kemudian, beberapa penunjuk perasaan menurunkan bendera China yang berkibar di luar pejabat kerajaan dan membakarnya.

Ketegangan memuncak selepas polis bergegas ke taman dan membuat beberapa tangkapan. — AFP

Berita Harian X