Sabtu, 21 September 2019 | 2:26pm
SEKUMPULAN penyokong kerajaan China bertindak menurunkan mesej bantahan dipasang di seluruh Hong Kong. - Foto Reuters

Penyokong Pro Beijing 'bersihkan' Tembok Lennon di Hong Kong

HONG KONG: Sekumpulan penyokong kerajaan China bertindak menurunkan mesej bantahan dipasang di seluruh Hong Kong hari ini, meningkatkan kemungkinan berlaku pertempuran bersama pendukung demokrasi.

Menjelang lewat pagi, berpuluh penyokong Beijing mula bertindak mengoyak berpuluh mesej pada nota pelekat yang mendesak demokrasi dan mengecam China kerana mencampuri hal ehwal pentadbiran bekas koloni British itu.

Semua nota berkenaan dipasang di seluruh pusat kewangan Asia itu, mencakupi perhentian bas, pusat beli belah dan sepanjang laluan pejalan kaki.

Ia juga adalah antara kawasan panas iaitu lokasi keganasan sejak bantahan bermula tiga bulan lalu.

Bantahan di Hong Kong pada dasarnya bermula tiga bulan lalu, susulan rang undang-undang yang membenarkan penduduk dihantar ke China untuk dibicarakan.

Ahli undang-undang pro Beijing, Junius Ho yang sering mengecam bantahan itu menggesa semua penyokongnya ‘membersihkan’ hampir 100 ‘Tembok Lennon’ di sekitar bandar terbabit hari ini.

Ia dinamakan sedemikian sempena kewujudan Tembok John Lennon di Prague yang dikuasai komunis pada era 1980an dan dipenuhi lirik kumpulan The Beatles serta mesej kesengsaraan politik.

Bagaimanapun dalam satu hantaran di laman Facebook lewat semalam, Junius berkata, Tembok Lennon berkenaan tidak akan dibersihkan atas faktor keselamatan.

“Kami akan membersihkan persekitaran dengan aman dan rasional,” katanya.

Penyokong anti kerajaan berang dengan apa yang mereka lihat sebagai campur tangan Beijing ke atas formula ‘satu negara, dua sistem’ yang membenarkan penduduk Hong Kong menikmati kebebasan, tidak seperti China termasuk hak berhimpun dan pengadilan secara bebas.

Menurut China, mereka komited terhadap pelaksanaan formula ‘satu negara, dua sistem’ dan menafikan sebarang campur tangan, sebaliknya menuduh kerajaan luar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain sebagai dalang menyebabkan bantahan itu. - Reuters

Berita Harian X