Khamis, 19 September 2019 | 7:40pm
Polis Korea Selatan berjaya mengenal pasti suspek kes pembunuhan bersiri lebih 30 tahun lalu. Foto hiasan

Pembunuh bersiri ditemui selepas 33 tahun

SEOUL: Polis Korea Selatan berjaya mengenal pasti suspek, yang terbabit dalam kes pembunuhan bersiri lebih 30 tahun lalu, iaitu selepas berlakunya kejadian pertama pembunuhan beramai-ramai itu.

Ramai anggota polis dikerah untuk menyiasat kes itu antara 1986 hingga 1991, bagi mengesan individu yang merogol dan membunuh wanita di Hwaseong, iaitu kawasan luar bandar di selatan Seoul.

Anggota polis turut menyiasat kira-kira 21,000 individu dan membandingkan cap jari kira-kira 20,000 orang, tetapi gagal mengesan suspek.

Kes itu turut memberi inspirasi kepada pembuat filem, Bong Joon-ho untuk menghasilkan filem bertajuk ‘Memories of Murder’, yang berjaya meraih kutipan box office pada 2003.

Bagaimanapun, teknik forensik terkini yang digunakan oleh pihak polis bagi mengesan asid deoksiribonukleik (DNA) dari kes jenayah lalu, berjaya mengenal pasti identiti Lee Chun-jae.

Anggota Agensi Polis Wilayah Gyeonggi Nambu, Ban Gi-soo, berkata Chun-jae, 56, adalah suspek dalam sekurang-kurangnya tiga kes pembunuhan.

“Sampel yang dikutip daripada bukti, termasuk daripada seluar dalam milik mangsa didapati sepadan dengan Lee (Chun-jae),” kata polis.

Ketika ini, Chun-jae sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan merogol dan membunuh adik iparnya pada 1994.

Namun, polis berkata, beliau tidak mengaku terbabit dalam pembunuhan di Hwaseong dan memandangkan Akta Had Masa sudah tamat, bermakna beliau tidak akan didakwa.

“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada semua mangsa dan keluarga mereka, termasuk rakyat Korea Selatan, kerana gagal menyelesaikan kes ini dalam tempoh yang lama.

“Kami akan berusaha untuk mencari kebenaran dengan penuh rasa tanggungjawab,” kata Gi-soo.

Mangsa pembunuhan bersiri di Hwaseong membabitkan golongan remaja hingga wanita berusia dalam lingkungan 70-an. - AFP

Berita Harian X