Selasa, 17 September 2019 | 3:31pm
Pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei ketika berucap pada satu majlis di Tehran. Foto EPA
Pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei ketika berucap pada satu majlis di Tehran. Foto EPA

Iran enggan berunding dengan Washington

DUBAI: Iran tidak akan mengadakan rundingan dua mata dengan Amerika Syarikat, sebaliknya bersedia menghadiri perbincangan pelbagai hala, jika Washington menyertai semula perjanjian nuklear 2015.

Pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata demikian hari ini, seperti yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata beliau akan bertemu dengan Presiden Iran, Hassan Rouhani, kemungkinan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada akhir bulan ini.

“Pegawai Iran, di mana-mana peringkat, tidak akan berunding dengan pegawai Amerika Syarikat, ia adalah salah satu dasar mereka (Amerika Syarikat) untuk memberi tekanan kepada Iran.

“Dasar mereka untuk memberi tekanan maksimum (terhadap Iran) akan gagal.

“Jika Amerika Syarikat mengubah tindakan mereka dan kembali kepada perjanjian nuklear (dengan Iran pada 2015), mereka boleh menyertai perbincangan pelbagai hala antara Iran dan beberapa pihak lain dalam perjanjian itu,” kata Khamenei seperti yang dilaporkan oleh stesen televisyen itu.

Trump meningkatkan sekatan terhadap Iran sejak akhir tahun lalu, apabila negara itu menarik diri daripada perjanjian nuklear antara Iran dan enam kuasa dunia lain.

“Jika kami tunduk kepada tekanan dan mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat, ia akan menunjukkan tekanan maksimum yang dikenakan terhadap Iran berjaya mencapai matlamatnya,” kata Khamenei, yang mempunyai kata putus dalam segala perkara membabitkan negara itu. - Reuters

Berita Harian X