Rabu, 11 September 2019 | 8:38pm
Foto fail ini yang diambil pada 25 Januari 2017 menunjukkan penempatan haram yang didirikan oleh Israel di Ariel berhampiran bandar Tebing Barat. - Foto AFP

Pelan Netanyahu untuk rampas Tebing Barat dikecam

BAITULMAQDIS: Janji pra-pilihan raya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk merampas Lembah Jordan di Tebing Barat dipuji puak berhaluan kanan namun dianggap pembangkang sebagai usaha ‘terdesak’ untuk beliau kekal memerintah.

Ikhtiar akhir Netanyahu menjelang pilihan raya pada 17 September itu turut dikecam Palestin, negara Arab, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).

Dalam ucapan secara langsung di televisyen tempatan, Netanyahu berkata sekiranya menang, beliau akan menakluki lembah strategik yang dianggarkan satu pertiga daripada Tebing Barat yang diduduki.

Beliau turut mengulangi niatnya untuk merampas penempatan Israel di Tebing Barat. Sekiranya berjaya, kedua-dua langkah itu akan memusnahkan harapan untuk merealisasikan penyelesaian dua negara.

Israel menduduki Tebing Barat dalam Perang Enam Hari pada 1967, langkah yang tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa.

Menurut undang-undang antarabangsa, penempatan itu adalah haram dan menjadi penghalang utama ke arah perdamaian kerana ia dibina di tanah yang bakal menjadi sebahagian daripada negara Palestin. - AFP

Berita Harian X