Rabu, 11 September 2019 | 1:39pm
Shinjiro Koizumi dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar dan Bencana Nuklear dalam rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, hari ini. Foto AFP

Shinzo Abe rombak Kabinet Jepun

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe melantik menteri luar dan menteri pertahanan baharu, selain menaikkan pangkat tokoh politik yang semakin meningkat naik, dalam rombakan Kabinet yang diumumkan hari ini.

Pelantikan Shinjiro Koizumi, 38, yang juga anak lelaki bekas perdana menteri, Junichiro Koizumi sebagai menteri alam sekitar, menimbulkan khabar angin dalam kelompok politik di Tokyo, bahawa era pentadbiran Abe semakin berakhir.

“Abe mungkin mahu memulakan saingan bagi memilih calon untuk mengisi jawatan perdana menteri dan seterusnya pengganti selepas itu,” kata ketua pasaran ekonomi SMBC Nikko Securities, Yoshimasa Maruyama.

Shinjiro Koizumi mendapat liputan meluas media ketika mengumumkan perkahwinannya dengan Christel Takigawa, baru-baru ini.

Beliau adalah menteri ketiga paling muda yang dilantik menganggotai Kabinet Jepun sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, di sebuah negara yang mengutamakan faktor kekananan dalam politik.

Abe bakal menjadi Perdana Menteri Jepun yang paling lama berkhidmat pada November ini, tetapi beliau dijangka meletakkan jawatan dalam pemilihan PArti Liberal Demokratik (LDP) pada 2021, dan saingan bagi merebut jawatan itu dilaporkan sudah bermula.

Sementara itu, menteri luar baharu Jepun, Toshimitsu Motegi dinaikkan pangkat susulan kejayaannya, ketika mengendalikan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Taro Kono, bekas menteri luar pula dipindahkan ke portfolio pertahanan, yang dilihat sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Jepun bagi menghadapi Korea Selatan, ketika hubungan antara kedua-dua negara semakin tegang. - AFP

374 dibaca
Berita Harian X