Rabu, 11 September 2019 | 10:07am
Agensi Angkasa Jepun terpaksa membatalkan pelancaran roket ke Stesen Angkasa Antarabangsa, susulan kebakaran pada pad pelancaran. Foto Agensi

Kebakaran paksa Jepun batal lancar roket ke ISS

TOKYO: Insiden kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi, memaksa agensi angkasa lepas Jepun membatalkan pelancaran roket, bagi menghantar bekalan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Mitsubishi Heavy Industries (MHI) dalam satu kenyataan berkata, kebakaran berlaku pada jam 3.05 pagi (waktu tempatan) berhampiran landasan pelancaran di pulau Tanegashim, di selatan negara itu.

Ia berlaku ketika MHI sedang bersiap sedia untuk melancarkan kapal kargo Kounotori8 milik Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun menggunakan roket H-2B.

“Pihak pengendali sedang menyiasat punca kebakaran dan memeriksa sama ada terdapat sebarang kerosakan pada roket dan kemudahan di sekelilingnya,” katanya MHI.

Kapal Kounotori8 yang bermaksud burung botak putih dalam bahasa Jepun, bakal dilancarkan bagi menghantar bekalan seberat 5.3 tan kepada angkasawan di ISS, termasuk makanan segar dan air, selain bateri serta peranti yang diperlukan bagi penyelidikan.

Agensi angkasa Jepun, JAXA turut menyifatkan Kounotori8 sebagai kapal pengangkut angkasa terbesar di dunia, dalam filem promosi yang disiarkan menerusi laman webnya.

Sementara itu, stesen penyiaran NHK yang memetik pegawai JAXA melaporkan, tiada tarikh akhir bagi menghantar bekalan ke ISS.

Katanya, tarikh pelancaran seterusnya akan ditentukan hasil rundingan dengan rakan sejawat antarabangsa. - AFP

427 dibaca
Berita Harian X