Selasa, 10 September 2019 | 6:11pm

India kesan pesawat pendarat yang hilang di bulan

NEW DELHI: Saintis angkasa India berjaya mengesan lokasi pesawat pendarat bulan yang rosak serta terputus hubungan sebelum berjaya melakukan pendaratan dan sedang berusaha menghubunginya.

Pesawat pendarat dikenali sebagai Vikram itu dijangka mendarat di bulan awal Sabtu lalu, namun terputus hubungan kira-kira 2.1 kilometer di atas permukaan.

Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) berkata di Twitter, “#VikramLander sudah berjaya dikesan oleh pengorbit #Chandrayaan2, namun masih gagal dihubungi. Semua kemungkinan sedang kami usahakan untuk berhubung dengan pendarat itu,” kata agensi angkasa berkenaan.

Media India melaporkan pendarat itu gagal mendarat dengan baik dan mungkin mengalami kerosakan termasuk rover yang dibawanya.

Misi angkasa kompleks yang membawa bersamanya pengorbit, pendarat dan juga rover itu direka hampir sepenuhnya di India. Ia menelan belanja hampir AS$140 juta (RM584 juta).

Isnin lalu, agensi berita Press Trust India (PTI) melaporkan, pendarat itu tidak rosak tetapi berada dalam keadaan condong di permukaan bulan. Ia mengakibatkan peluang untuk memulihkan komunikasi agak sukar.

“Komunikasi hanya akan dapat berlaku jika sekiranya Vikram mendarat dengan lancar dan jika sekiranya semua sistem berfungsi. Semuanya masih samar,” kata seorang pegawai ISRO yang enggan dikenali ketika dipetik PTI .

ISRO setakat ini masih gagal dihubungi untuk mengulas lanjut. - AFP

1265 dibaca
Berita Harian X