Sabtu, 7 September 2019 | 8:28am
Gambar foto diambil dan dikeluarkan oleh Organisasi Penyelidikan Angkasa India (ISRO) menunjukkan Chandrayaan-2 (Moon Chariot 2), dengan Kenderaan Pelancaran Satelit Geosinkron (GSLV-mark III-M1 ), yang dilancarkan dari Pusat Angkasa Satish Dhawan di Sriharikota, sebuah pulau di luar negeri Andhra Pradesh pada 22 Julai, 2019 . - Foto AFP

India terputus hubungan dengan kapal angkasa di bulan

BANGALORE: Agensi angkasa India terputus hubungan dengan kapal angkasanya sejurus sebelum ia dijadual mendarat di Kutub Selatan bulan, satu tamparan hebat kepada impian negara itu dalam penjelajahan angkasa.

India sekian lama menyasarkan untuk menjadi negara keempat berjaya mendarat di bulan selepas Amerika Syarikat (AS), Russia dan China.

Negara itu juga bercita-cita untuk menjadi negara pertama mendarat di wilayah Kutub Selatan, kawasan yang disifatkan Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO), sebagai belum pernah diterokai.

“Proses pendaratan kapal angkasa Vikram berjalan seperti dijadual dan prestasi yang ditunjukkan adalah normal,” kata pengerusi ISRO, Kailasavadivoo Sivan di bilik kawalan di selatan Bangalore.

“Sejurus selepas itu, komunikasi dari kapal angkasa itu dengan stesen terputus. Kami sedang menganalisis data,” katanya.

Perdana Menteri Narendra Modi yang turut hadir ke pusat angkasa untuk menyaksikan pendaratan itu berkata, apa yang dicapai barisan saintis bukan sesuatu yang kecil.


Video di Chandrayaan 2 Misi Bulan India terpapar di pusat media di Pusat Perintah Pelacakan Telemetri (ISTRAC) Organisasi Penyelidikan Angkasa India (ISRO) di Bangalore, India. - Foto EPA

Skrin ini diambil dari siaran langsung oleh Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) menunjukkan keadaan Vikram sebelum ia sepatutnya mendarat di Bulan. - Foto AFP

“Jatuh bangun adalah lumrah dalam hidup. Kerja keras anda banyak mengajar kami dan seluruh negara berbangga dengan anda,” tambahnya.

“Jika komunikasi dengan kenderaan pelancar berjaya dipulihkan, kita harapkan yang terbaik. Perjalanan ini akan diteruskan. Terus kuat. Saya bersama anda.”

ISRO berkata, pendaratan yang dijangka bermula pada jam 1.55 pagi (waktu tempatan) itu adalah satu proses yang cukup kompleks dan disifatkan Sivan sebagai ‘15 minit yang menakutkan’. - AFP

Berita Harian X