Ahad, 1 September 2019 | 10:10am
Polis rusuhan menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan anti-ekstradisi di Hong Kong semalam. -Foto AFP
Polis rusuhan menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan anti-ekstradisi di Hong Kong semalam. -Foto AFP

Hong Kong bertukar malapetaka - Polis

HONG KONG: Bandaraya ini umpama malapetaka malam tadi, demikian menurut seorang jurucakap pasukan polis Hong Kong awal pagi ini, beberapa jam selepas perusuh membakar jalan utama, merosakkan bangunan kerajaan dan melumpuhkan lalu lintas.

Superintendan kanan Cawangan Perhubungan Awam Polis, Yu Hoi-kwan memberitahu media mengenai keganasan meluas yang menjejaskan kebanyakan tempat di bandaraya ini sejak tengah hari semalam.

Sekurang-kurangnya 40 orang ditahan polis dari malam semalam hingga awal pagi ini berhubung pelbagai kesalahan termasuk mengambil bahagian dalam perhimpunan haram, kerosakan jenayah dan menghalang tugas polis.

Polis menolak permohonan perarakan awam di Hong Kong semalam bagi memastikan keselamatan penduduk dan ketenteraman awam selepas beberapa insiden sama bertukar ganas sejak awal Jun lalu.

Bagaimanapun, semalam, penunjuk perasaan tidak mengendahkan larangan polis dengan memasuki jalan utama. Ketika perarakan, beberapa perusuh radikal memecahkan lampu isyarat serta menanggalkan selusur jalan raya untuk mendirikan penghadang bagi berdepan polis.

Perusuh berpakaian hitam memakai topeng dan topi keledar cuba menyerbu ibu pejabat bangunan Rantau Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) dan Majlis Perundangan, menggunakan lastik bagi melancarkan bom petrol dan objek lain ke dalam bangunan ketika membakar jalan utama berhampiran ibu pejabat polis.

Ketika polis rusuhan mula menyuraikan penunjuk perasaan radikal, perusuh beralih ke kawasan seperti Admiralty dan Causeway Bay di sebelah pulau, Tsim Sha Tsui, Mong Kok, Kwun Tong dan Yau Ma Tei di Kowloon serta New Territories, di mana mereka memulakan kebakaran, menyekat jalan raya dengan tong sampah, melumpuhkan lalu lintas dan membaling bom petrol.

Seorang perusuh membaling molotov koktel ke arah polis ketika bantahan di Hong Kong, semalam. -Foto Reuters
Seorang perusuh membaling molotov koktel ke arah polis ketika bantahan di Hong Kong, semalam. -Foto Reuters

Hoi-kwan mengesahkan, dua pegawai polis melepaskan tembakan amaran ke udara malam semalam di Victoria Park apabila mereka dikepung dan diserang perusuh serta nyawa mereka terancam.

“Kelakuan perusuh agak menakutkan. Mereka melakukan sabotaj di daerah berbeza, menyebabkan perkhidmatan MTR digantung.

“Kami tidak sekali-kali membenarkan keganasan semakin buruk. Melanggar undang-undang tetap melanggar undang-undang. Sebarang rayuan tidak sepatutnya menjadi alasan kerana melanggar undang-undang.

“Polis mempunyai keupayaan dan keazaman serta mencuba bersungguh-sungguh membawa penjenayah ke muka pengadilan bagi membolehkan masyarakat kembali normal,” kata Hoi-kwan seperti dilaporkan agensi berita Xinhua. -Agensi

Berita Harian X