Sabtu, 31 Ogos 2019 | 2:11am

Iran terus langgar perjanjian nuklear - IAEA

VIENNA: Iran terus melanggar perjanjian nuklear dengan kuasa dunia dengan meningkatkan simpanan uranium diperkayakan dan menapisnya kepada ketulenan lebih tinggi berbanding tahap dibenarkan, menurut laporan agensi atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, semalam.

Laporan suku tahun Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang turut memantau perjanjian 2015 itu mengesahkan Iran semakin tidak mematuhi perjanjian sebagai tindak balas. Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian itu dan memperbaharui sekatan yang menjejaskan jualan minyak Iran.

Iran pernah memberi amaran bahawa ia akan melanggar had perjanjian aktiviti nuklear satu per satu untuk meningkatkan tekanan terhadap negara Barat yang masih mahu menyelamatkan perjanjian itu.

Presiden AS, Donald Trump sudah menawarkan rundingan perjanjian baharu dengan Iran, namun Tehran berkata, Washington perlu melepaskan sekatannya terlebih dahulu.

Laporan suku tahun kepada negara ahli, semalam, menunjukkan Iran menyimpan 241.6 kilogram uranium diperkaya dan meningkatkan ketulenannya kepada tahap sama sebelum perjanjian iaitu sehingga 4.5 peratus.

Menurut perjanjian program nuklear Iran, negara itu patutnya mengehadkan simpanan uranium diperkaya kepada 202.8 kilogram dan ketulenan pada 3.67 peratus sahaja.

Bagaimanapun, simpanan uranium diperkaya Iran masih kecil berbanding bertan-tan yang dimilikinya, sebelum perjanjian itu. Tahap pengayaan uraniumnya juga kurang daripada paras 20 peratus yang dicapai, sebelum perjanjian dan anggaran 90 peratus yang dianggap sebagai gred senjata. - Reuters

Berita Harian X