Isnin, 26 Ogos 2019 | 4:43pm
Penunjuk perasaan prodemokrasi berkumpul di lobi sebuah jabatan kerajaan di Hong Kong, semalam. Foto AFP
Penunjuk perasaan prodemokrasi berkumpul di lobi sebuah jabatan kerajaan di Hong Kong, semalam. Foto AFP

15 polis cedera rusuhan di Hong Kong

HONG KONG: Seramai 15 anggota polis cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan yang bertukar ganas, hingga memaksa pihak berkuasa menembak meriam air ke arah peserta protes prodemokrasi.

Polis Hong Kong dalam satu kenyataan berkata, puluhan penunjuk perasaan turut ditahan, termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun, atas kesalahan menyertai perhimpunan haram, memiliki senjata dan menyerang polis.

Kejadian terbaharu berlaku di daerah Tsuen Wan, kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar dan antara insiden paling buruk dalam krisis politik yang melanda hab kewangan antarabangsa itu.

“Anggota polis diserang sekumpulan penunjuk perasaan bersenjatakan batu dan senjata lain.

“Ketika itu, seorang anggota polis jatuh, sekali gus terdedah kepada ancaman perusuh, hingga memaksa enam anggota lain memberikan bantuan, manakala salah seorang polis melepaskan tembakan ke udara,” kata polis.

Insiden tembakan itu dipercayai yang pertama membabitkan peluru hidup sejak krisis itu tercetus.

“Pihak polis merayu kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam tunjuk perasaan ganas,” kata polis yang berjanji membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Sementara itu, tindakan melepaskan tembakan peluru hidup menimbulkan kemarahan pengguna media sosial, sambil membidas kenyataan jurucakap polis yang mempertahankan tindakan anggotanya pada Ahad lalu.

“Jika anggota polis gagal mengawal perasaan mereka, bagaimana mereka boleh dikatakan berani dan berjaya mengawal diri,” kata seorang pemilik akaun Facebook. - AFP

Berita Harian X