Isnin, 26 Ogos 2019 | 3:21pm
Peserta demonstrasi membakar gambar Perdana Menteri India, Narendra Modi di Karachi, Pakistan. Foto AFP

Pemandu trak maut terkena batu dilontar perusuh

SRINAGAR: Seorang pemandu trak maut selepas terkena batu yang dilontar penunjuk perasaan di Kashmir, ketika kawalan keselamatan yang melumpuhkan aktiviti di wilayah itu memasuki minggu keempat.

Kejadian itu berlaku menjelang pertemuan antara Perdana Menteri India, Nerandra Modi dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di lokasi Sidang Kemuncak Kumpulan 7 (G7) di Perancis.

Pada pertemuan itu, Trump dijangka memberi tekanan kepada Modi supaya menarik balik sekatan komunikasi di Kashmir.

Kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Modi bertindak menarik balik status autonomi yang diberikan kepada wilayah majoriti Muslim itu pada 5 Ogos lalu, selepas puluhan ribu penduduknya, ketika menentang pemerintahan India sejak 1989.

Menurut beberapa sumber, menjelang pengumuman itu, New Delhi menghantar lebih banyak anggota keselamatan ke kawasan terbabit, bagi membantu anggaran 500,000 tentera yang sudah berada di Kashmir.

Selain itu, India turut menyekat talian telefon dan internet, melaksanakan perintah berkurung serta menahan ribuan penduduk.

Dalam demonstrasi terbaharu yang berlangsung Ahad lalu di wilayah Anantnag, penunjuk perasaan melontar batu ke arah sebuah trak yang disyaki milik pasukan tentera.

Polis berkata, pemandu trak berusia 42 tahun itu maut akibat cedera pada bahagian kepala.

Agensi berita The Press Trust of India melaporkan, dua lelaki sudah ditahan susulan kejadian berkenaan. - AFP

Berita Harian X