Isnin, 26 Ogos 2019 | 8:46am
Seorang penunjuk perasaan menyapu jalan raya dengan cecair pencuci untuk cuba mencederakan polis rusuhan ketika bantahan menuntut demokrasi dan pembaharuan politik di Tsuen Wan, Hong Kong, semalam. -Foto Reuters
Seorang penunjuk perasaan menyapu jalan raya dengan cecair pencuci untuk cuba mencederakan polis rusuhan ketika bantahan menuntut demokrasi dan pembaharuan politik di Tsuen Wan, Hong Kong, semalam. -Foto Reuters

China beri isyarat campur tangan jika bantahan HK bertambah buruk

HONG KONG: China menghantar amaran paling kerasnya setakat ini untuk menggunakan tenteranya di jalanan di wilayah ini di mana Beijing berkata, bantahan bertukar kepada ‘Revolusi Warna’ dengan meriam air dan gas pemedih mata dilepaskan dalam pertembungan antara polis dan penunjuk perasaan ketika bantahan hujung minggu ke-12 berturut-turut.

“Ia bukan hanya kuasa kerajaan pusat China namun juga tanggungjawab untuk campur tangan apabila rusuhan berlaku di Hong Kong,” kata agensi berita Xinhua semalam dalam komentar, mengulangi komen bekas pemimpin atasan Deng Xiaoping yang berkata, Beijing perlu bertindak mengikut keadaan itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada 13 Ogos lalu berkata, laporan daripada agensi perisikan negaranya menunjukkan kerajaan China menggerakkan angkatan tenteranya ke sempadan Hong Kong.

Sehari sebelumnya, akhbar tabloid China dikendalikan People’s Daily, Global Times melaporkan, Polis Bersenjata Rakyat China berhimpun di Shenzhen sebelum ‘latihan skala besar’ di mana pelbagai kereta kebal perisai, trak dan kenderaan lain tentera separa dilihat menuju ke bandar berjiran Hong Kong itu.

Dalam komentarnya semalam, Xinhua berkata, bantahan di Hong Kong bertukar kepada satu Revolusi Warna menyasar menukar institusi perlembagaan Rantau Pentadbiran Khas itu, isyarat menunjukkan ia sudah bersedia mengambil tindakan lanjut.

Sebelum ini, pihak berkuasa China menyifatkan bantahan itu sebagai memiliki beberapa kriteria menunjukkan revolusi warna.

Tindakan ganas penunjuk perasaan mendorong Hong Kong ke kancah amat bahaya, kata kerajaan bandar ini dalam satu kenyataan selepas sehari dipenuhi bantahan ganas antara penunjuk perasaan dan polis di mana seorang pegawai melepaskan tembakan amaran ke udara.

Sementara itu, penggunaan meriam air buat kali pertama dan sekurang-kurangnya seorang pegawai melepaskan tembakan ke udara ketika pertembungan dengan penunjuk perasaan semalam, dianggap malam paling ganas dalam tempoh tiga bulan bantahan prodemokrasi menggegarkan bandaraya ini.

Terdahulu semalam, selepas ribuan penduduk berarak secara aman dalam hujan, sekumpulan penunjuk perasaan tegar mendirikan sekatan buatan dan membaling bata serta molotov koktel ke arah polis rusuhan.

Polis sebelum ini berkata, kenderaan meriam air, dilengkapi kamera pengawasan dan beberapa muncung penyembung hanya akan digunakan jika berlaku ‘gangguan awam skala besar.’ -Agensi/AFP

Berita Harian X