Sabtu, 24 Ogos 2019 | 7:16pm
Anggota polis anti-rusuhan bergolak dengan penunjuk perasaan semasa protes di Hong Kong, China. - Foto REUTERS
Anggota polis anti-rusuhan bergolak dengan penunjuk perasaan semasa protes di Hong Kong, China. - Foto REUTERS

Polis Hong Kong guna gas pemedih mata surai penunjuk perasaan

HONG KONG: Polis Hong Kong terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan selepas beberapa aktivis membaling Molotov koktel dan batu-bata, hari ini.

Empat stesen kereta api bawah tanah MTR terpaksa ditutup di sekitar Kwun Tong, bandar yang padat dengan penduduk yang terletak di semenanjung Kowloon, dekat sini.

Difahamkan, polis menggunakan gas pemedih mata selepas beberapa penunjuk perasaan membaling bom Molotov koktel dan batu-bata selain merosakkan pusat kawalan lampu ‘pintar’ yang dilengkapi kamera CCTV.

Selain itu, penunjuk perasaan turut membina sekatan dengan menggunakan perancah diperbuat kayu buluh.

Polis anti-rusuhan menahan seorang penunjuk perasaan ketika mereka bertempur di Hong Kong, China. - Foto REUTERS
Polis anti-rusuhan menahan seorang penunjuk perasaan ketika mereka bertempur di Hong Kong, China. - Foto REUTERS

Ia adalah kali pertama gas pemedih mata digunakan dalam tempoh 10 hari selepas beberapa siri bantahan secara aman di wilayah bekas jajahan British itu.

Namun, tiada laporan kecederaan setakat ini.

Kerajaan berkata dalam satu kenyataan, penunjuk perasaan ‘menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan semua orang’ di tempat kejadian.

“Selepas memberi amaran berulang kepada penunjuk perasaan tidak berhasil, pegawai polis melepaskan gas pemedih mata dan kekerasan minimum untuk menyuraikan mereka,” katanya. -Reuters.

Penunjuk perasaan bertembung dengan polis anti-rusuhan semasa demonstrasi di Hong Kong, China. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan bertembung dengan polis anti-rusuhan semasa demonstrasi di Hong Kong, China. - Foto REUTERS

Berita Harian X