Isnin, 12 Ogos 2019 | 6:57pm
Penduduk sedang menyelamat ternakan dengan menyeberangi jalan yang dinaiki air di New Delhi. - Foto AFP
Penduduk sedang menyelamat ternakan dengan menyeberangi jalan yang dinaiki air di New Delhi. - Foto AFP

Korban banjir di India meningkat 184 orang

NEW DELHI: Angka korban banjir di India meningkat kepada 184 orang manakala hampir sejuta penduduk sudah dipindahkan ke kem kecemasan sejak beberapa hari lalu, kata pihak berkuasa India.

Negeri tumpuan pelancongan, Kerala paling teruk terjejas sejak tahun lalu, memaksa Lapangan Terbang Antarabangsa Kochi ditutup selama tiga hari minggu lalu.

“Sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh, 58 masih hilang manakala 32 lagi cedera,” kata jurucakap polis Kerala, Pramod Kumar.

Dianggarkan 288,000 penduduk di sekitar wilayah paling teruk terjejas di negeri itu termasuk Wayanad, Malappuram dan Kozhikode sudah dipindahkan ke kem kecemasan.

Sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh di negeri Karnataka selepas mengalami antara banjir paling teruk sejak beberapa tahun lalu.

“Kami sudah memindahkan 580,000 orang,” kata pegawai kerajaan kanan Karnataka kepada AFP.

Media India turut melaporkan 66 kematian di barat negeri Maharashtra dan Gujarat dengan puluhan ribu lagi dipindahkan ke kem kecemasan.

Tahun sebelumnya, Kerala dilanda banjir paling teruk sejak hampir seabad lalu hingga mengorbankan kira-kira 450 orang. - AFP

Berita Harian X